CIC - Where leaders are born

JAWAPAN KEPADA FITNAH TERHADAP CIC

E-mail Print PDF

Assalamualaikum Wrt Wbh,

Yang dikasihi semua CICY sekalian,

Didoakan semoga saudara-saudari semua berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Berikutan dengan tersebarnya tuduhan Ustaz Nazmi Karim bahawa CIC syiah, saya dengan ini menolak dakwaan tersebut sekeras-kerasnya. Adalah mustahil pihak CIC menyebarkan syiah kerana kesemua kakitangan dan francaisee yang berjumlah lebih 300 orang adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. CIC juga mempunyai silibus yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan dikomentarkan sebagai silibus yang sangat outstanding. Saya berharap agar ibubapa tidak panik dan terus mendapatkan servis pihak CIC, mudah-mudahan visi kita untuk melahirkan anak-anak yang berjaya, khususnya mempunyai sifat kepimpinan dan mempunyai ciri-ciri kejayaan.

Antara ciri-ciri yang cuba kita didik antara lain ialah mempunyai akal yang cerdas, banyak membaca, berfikir secara kreatif dan di luar kotak, menyelesaikan masalah dengan hikmah, boleh membuat penilaian secara kritikal dan berbudaya tinggi. Insya Allah jika kita berjaya mendidik anak-anak kita dengan ciri-ciri yang disebut di atas, orang Islam tidak akan menjadi seperti yang kita lihat hari ini. Dengan jumlah yang kurang daripada 1/3 penduduk dunia, kita terus bercakaran dan berbunuh-bunuhan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Daripada berjuta-juta jenama produk atau servis yang ada di dunia ini, mungkin hanya 1-2% sahaja milik orang Islam. Bukan senang untuk bangunkan sesebuah jenama, dan hari ini pula kita sesama Islam suka menjatuhkannya. Lihat negara-negara dunia, Amerika, UK, Europe, Australia, New Zealand, Jepun, Korea, China, India, Vietnam, Filipina semuanya sedang mengukuhkan jenama dan ekonomi masing-masing. Negara Islam yang sedikit membangun hanyalah beberapa sahaja, kita ada Turki, Iran dan Malaysia. Negara Arab bergolak dan berbunuhan. Yang kaya hanya bergantung kepada sumber minyak dan boneka barat. Jika Iran kita tidak terima sebagai Islam, tinggal Malaysia dan Turki. Malaysia pula dukacitanya orang Islam sebenarnya tidak pernah menguasai ekonomi negara sendiri.

Itulah pendapat peribadi saya. Mungkin kerana itu mereka menuduh saya syiah. Terus terang saya katakan saya berat hati untuk memberikan komen kerana mungkin akan menimbulkan percakaran dan menambah perpecahan sesama kita orang Islam, khususnya orang Islam di Malaysia. Dalam mana semua rakyat dunia khususnya bukan Islam di negara kita dan negara bukan Islam lain, bangun pagi bekerja siang malam membangunkan ekonomi dan kemajuan masing-masing, kita bangun pagi dan bermalam dengan mencari musuh, percakaran dan menjatuhkan antara satu sama lain. Sungguh ironik dan memalukan.

Oleh itu, saya tegaskan bahawa saya tidak suka atau setuju dengan pihak yang memanjangkan isu perbezaan sunni-syiah ini. Dan saya sangat tidak bersetuju kita memusuhi antara satu sama lain. Namun oleh kerana menimbulkan keresahan, saya dengan ini menjelaskan bahawa tuduhan saya sebagai seorang syiah adalah tidak benar sama sekali.

Saya amat sedih dan terkilan kerana tuduhan berpunca daripada individu yang dekat tetapi selama ini tidak pernah bertanyakan saya secara peribadi sebaliknya membuat kesimpulan berdasarkan ilmu yang cetek dan menyebarkan kepada orang lain yang tidak bertanggung jawab dan membesarkan perkara ini kepada orang ramai tanpa usul periksa.

Sebagai penjelasan kepada tuduhan Ustaz Nazmi Karim berikutan laporan seorang "Sharifah", saya berpendapat Ustaz Nazmi Karim adalah seorang yang tidak cermat dan hentam keromo serta tidak berlaku adil kepada yang tertuduh. Untuk makluman semua, saya memang mengenali Sharifah Nur Aini AlJufri sewaktu tinggal sebilik semasa menunaikan haji pada tahun 2009. Adalah menjadi tabiat saya untuk menunjukkan hormat saya pada seseorang yang saya kenal, saya akan mencari kelebihan yang ada padanya untuk dihormati. Contohnya jika dia berjawatan tinggi atau berpendidikan tinggi saya akan memujinya dengan ikhlas dengan mengaitkannya dengan institusi tersebut. Adakalanya saya akan bercakap tentang bandar seseorang itu jika cantik. Dalam mengenali Sharifah ini, bukan pada dia sahaja malah kepada individu lain yang bernama Syed dan Sharifah, saya akan memuji kemuliaan keturunan mereka yang pada saya memang benar kerana berketurunan Rasulullah. Sewaktu mengutarakan perihal ini, saya memang memujinya bahawa dia berketurunan mulia. Tapi saya tidak kata saya "memuliakannya" seperti yang dikatakan oleh Ustaz Nazmi. Ustaz Nazmi selanjutnya mengatakan keesokannya saya membawa Sharifah ini bertemu dengan orang-orang Syiah. Ustaz Nazmi dalam mengungkapkannya samada sengaja atau salah faham, seolah-olah menggambarkan saya mempunyai agenda membawa Sharifah ini.

Sebaliknya apa yang berlaku adalah, beberapa lama (saya tidak ingat, mungkin beberapa minggu) selepas saya mengenali Sharifah itu, ada beberapa orang kawan yang juga jemaah Haji datang menziarahi saya dan suami di lobi hotel. Antaranya ada seorang Syed yang juga berketurunan AlJufri. Saya mengajak Sharifah ini untuk bertemu dengan tujuan untuk mengetahui samada mereka mempunyai talian persaudaraan. Saya masih ingat bagaimana Sharifah ini menerangkan kepada saya bahawa kadang-kadang saudara maranya menggunakan AlJefri untuk lebih glamor. Itu lah tujuan asal dan sewaktu dia mengikut saya, tidak ada yang dibualkan melainkan isu-isu umum selain Syed itu cuba cari susur galur keturunan mereka. Saya tidak pernah bercakap tentang Abu Lahab samada ketika itu atau bila-bila. Saya tidak pernah berminat berbincang tentang Abu Lahab. Saya juga tidak pernah bawa Sharifah menziarahi kubur seperti yang dituduh. Ternyata Ustaz Nazmi menambah-nambah atau tidak cermat atau sengaja menyampaikan ceramah sedemikian rupa untuk memburukkan saya dan menjatuhkan CIC.

Antara lain, Sharifah merupakan penggemar air malt. Kebetulan sewaktu itu saya bersama rakan lain meraikan rakan dagang dari Iran yg berhasrat membawa jenama CIC ke Tehran dan saya membantu mengimpot air malt tersebut. Hubungan saya dengan syarikat Iran terhenti di situ dan tidak aktif atas pelbagai masalah perniagaan dan tidak ada kena mengena dengan mazhab. Sehingga kini sudah beberapa tahun saya tidak pernah berurusan dengan orang Iran.

Saya sangat terkilan kerana Sharifah tersebut membuat kesimpulan umum berdasarkan dakyah orang lain yang ingin memecah belahkan masyarakat dengan melabelkan mereka sebagai syiah. Saya difahamkan bahawa Sharifah turut menyebarkan bahawa CIC dimiliki oleh Iran. Saya sangat malu dengan tuduhan ini. Malu dengan sikap orang melayu yang tidak percaya kemampuan bangsa sendiri dan mengaitkan kejayaan sesuatu jenama itu dengan bangsa asing khususnya orang syiah atau orang yahudi. Dalam sejarah CIC, ia juga pernah dituduh sebagai dimiliki oleh ahli perniagaan Cina. Inilah perangai orang kita.

Berkenaan isu artikel AlQuds, Salahuddin Ayyubi dan sebagainya, saya bukan penulisnya dan nama saya digunakan sebagai orang yang menyediakan artikel terbabit. Namun begitu, saya berpandangan menyokong pembebasan AlQuds tidak boleh dituduh sebagai syiah, semata-mata kerana kempen tersebut dibawa oleh Khomeini.

Saya secara peribadi amat kesal tentang perkara ini dan akan cuba mengelakkan perbalahan sesama Islam dan berharap agar kita semua mengfokuskan kepada perkara yang lebih positif dan membangun. Berkenaan dengan isu Syria dan Mesir, saya berpandangan orang Arab dari dahulu kala terkenal dengan sikap perkelahian dan membunuh antara satu sama lain. Kita sebagai orang Melayu tidak tahu masalah politik mereka yang rumit dan mungkin dirancang sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam bagi mengucar-kacirkan dan melumpuhkan kekuatan negara Islam, oleh itu kita tidak boleh berlebih-lebihan. Kita orang Melayu terkenal dengan sikap harmoni dan telah memeluk Islam waktu Islam datang ke negara kita dulu tanpa pertumpahan darah pun. Oleh itu kita harus kekalkan sikap ini dan janganlah terpengaruh dengan peperangan di negara Arab.

Selain itu saya juga berpandangan bukan sahaja kita tidak harus bermusuhan sesama Islam, kita juga harus berbuat baik sesama insan walaupun berlainan agama dan kepercayaan kerana kita sama-sama harus bangunkan dunia supaya selamat didiami oleh semua makhluk dan menyebarkan kebaikan sebanyak mungkin. Jika kebaikan tersebar, manusia semakin berilmu dan berakhlak mulia, akhirnya manusia akan kembali kepada Tuhan dan beribadah kepadanya. Ini adalah lebih baik daripada memusuhi antara satu sama lain, berperang, berbunuhan dan dendam yang tidak berkesudahan. Kita semua bertanggung jawab menghentikan persengketaan ini. Bermula dari diri sendiri.

Sekian terima kasih. Dan setinggi penghargaan kepada semua keluarga CIC yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa, kakitangan dan francaisi CIC yang selama ini memberikan sokongan yang tidak berbelahbagi. Moga hasrat kita untuk melihat anak-anak yang berjaya, hidup dengan harmoni, berbahagia dunia dan akhirat tercapai dengan usaha kita. Amin. Wassalam.